LALUAN LPT 2 CHENEH DIBUKA KEPADA ORANG RAMAI

SIARAN AKHBAR
UNTUK SIARAN SEGERA

LALUAN LEBUHRAYA PANTAI TIMUR 2 CHENEH DIBUKA KEPADA ORANG RAMAI

Pada 21 Julai 2014, Persimpangan Cheneh telah dibuka kepada semua laluan bagi memasuki Jajaran Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) untuk ke Jabor di Terengganu dan Kuantan di Pahang seterusnya hingga ke Gombak di Lembah Klang.

Berikut dilampirkan info grafik bagi memudahkan pengguna untuk menggunakan Laluan dari Kuala Lumpur – Jabor (LPT1) ke Cheneh (LPT 2) dan Laluan Cheneh (LPT2) Ke Jabor – Kuala Lumpur (LPT1).

Laluan dari Kuala Lumpur – Jabor (LPT1) ke Cheneh (LPT 2)
Berikut adalah laluan bagi pengguna dari Kuala Lumpur atau Kuantan yang ingin ke Cheneh menggunakan LPT2 berikutan pembukaan sebahagian lagi LPT2 melibatkan laluan Persimpangan Jabor (LPT1) dengan Cheneh (LPT2). Pengguna terlebih dahulu perlu keluar di Persimpangan Jabor untuk membayar tol di Plaza Tol Jabor dan kemudiannya membuat pusingan–U selepas plaza tol dan mengambil kad transit untuk masuk ke laluan LPT2–(Jabor-Cheneh). Pengguna seterusnya perlu menyerahkan kad transit tersebut (tanpa caj) apabila tiba di Plaza Tol Sementara Jabor-Cheneh sebelum meneruskan perjalanan menggunakan LPT2 sehingga ke Persimpangan Cheneh. (Rujuk Lakaran 1.)

Laluan Cheneh (LPT2) Ke Jabor – Kuala Lumpur (LPT1)
Bagi pengguna dari Persimpangan Cheneh yang ingin ke Kuantan atau destinasi-destinasi lain melalui LPT1, mereka perlu mengambil kad transit atau menyerahkan kad Touch n’ Go kepada jurutol untuk tujuan pengaktifan kad Touch n’ Go masing-masing di Plaza Tol Sementara Jabor-Cheneh sebelum meneruskan perjalanan melalui LPT1 seperti biasa. Rujuk Lakaran 2. Kad transit atau kad Touch n’ Go perlu diserahkan di mana mana laluan keluar plaza tol LPT1 dan transaksi akan dilakukan seperti biasa. Namun bagi pengguna yang keluar di Plaza Tol Jabor tiada bayaran tol dikenakan, sepertimana pengguna yang masuk ke lebuhraya di Plaza Tol Jabor dan keluar di Plaza Tol Sementara Jabor-Cheneh untuk ke LPT2 (Cheneh).

LPT1 adalah jajaran sepanjang 240 km bermula dari Kuala Lumpur – Karak – Kuantan – Jabor. Ianya adalah lebuhraya bertol di bawah konsesi ANIH Berhad dengan operasi tol dan penyelenggaraannya dikendalikan oleh Kumpulan AlloyMtd.

Kumpulan AlloyMtd juga telah menyiapkan LPT2 Pakej 10 : Bukit Besi – Bkt Payung – Ajil pada Mei 2012 dan telah dibuka oleh Kerajaan kepada laluan pada Ogos 2012.

Risalah tentang laluan LPT2 Cheneh akan diedarkan kepada pengguna lebuhraya. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Hotline LPT di talian 09-5479111 atau di Twitter @LPTTrafik.

***Tamat***

Tentang ANIH Berhad

ANIH Berhad adalah pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sepanjang 240km. Bermula dari Gombak di Lembah Klang hingga Jabor di Terengganu, LPT menyingkatkan masa perjalanan, dari Lembah Klang ke bandar-bandar utama di sebelah Pantai Timur, terutamanya Kuantan. ANIH Berhad juga adalah pemegang konsesi Lebuhraya KL-Seremban. Operasi tol dan penyenggaraan rangkaian-rangkaian lebuh raya ANIH Berhad diurus oleh Kumpulan AlloyMtd.

Untuk pertanyaan, sila hubungi:

1. Fazlyaton Hussein, Ketua, Jabatan Komunikasi di
fazlyaton.hussein@alloymtd.com

2. Hafizah Mohd Sabri, Eksekutif Kanan, Komunikasi di
hafizah.sabri@alloymtd.com

3. Haniff Ali, Eksekutif Komunikasi di
haniff.ali@alloymtd.com

Siaran Akhbar dikeluarkan bagi pihak ANIH Berhad oleh:
Jabatan Komunikasi Korporat
AlloyMtd Group

1, Jalan Batu Caves, 68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
Tel : 03-6195 1111 Fax : 03-6188 0101 Website : www.alloymtd.com